Tuesday, May 24, 2011

ABIM ; BALADA SEBUAH GERAKAN ISLAM



Episod I

I.
Dipenghujung enam puluhan
Awan hitam menyelubungi tanah air
Walau langit mendung, cuacanya panas sekali.

Tragedi keruntuhan umat sedang mencapai puncaknya
Melayu, tuan sah pertiwi ini sedang dikebiri
Kemiskinan, kemunduran dan keterbelakangan, seakan
Memang layak menjadi warisan abadi bangsa
Kekurangajaran terhadap agama sudah pada tahap biadab
Islam, hanya dilihat sebagai tukang masak makanan halal
Orang yang diberi tumpangan dahulu, telah membina istana di halaman rumah
Membuat pemiliknya, rela dalam paksa, kembali jadi hamba
Para penguasa, sedang lena dalam pelukan budaya barat
Akhirnya, bermomentumkan kekalahan pilihan raya ‘69
Telah menyulut api dendam, yang
Memang menanti saat untuk dilampiaskan
Pertiwi lalu dibakar kerusuhan kaum.

II
Apabila krisis melanda umat
Pemuda akan bangkit menentang kemapanan
Penderitaana adalah kilang unggul mengeluarkan idealisma
Sepenanggungan mewujudkan kebersamaan yang padu
Kesengsaraan melahirkan pejuang-pejuang berani mati.

Bumi ini sungguh bertuah
Memiliki putra putri unggul, yang pandai
Menangkap detik-detik strategik dalam sejarah.

Dimotori PKPIM, dibidani Razali Nawawi
Tujuh belas Ogos tujuh puluh Satu
ABIM lahir dalam kancah prahara bangsa
Untuk menjadi juru bicara umat
Untuk menegakan keadilan dan kebenaran
untuk mengekalkan jati diri
untuk mendaulatkan Islam sebagai Cara Hidup

Kehadirannya,
Disambut cibiran penguasa
Dicemuh budak-budak sekular
Dilabel sebagai terjemahan rasa rendah diri Melayu, oleh
Sesetengah cendikiawan didikan barat.

Semuanya itu, tidak membuat mereka patah semangat
Apabila tekad dan semangat pengorbanan telah menyatu
Apabila gong perjuangan telah dicanangkan
Tiada lagi mundur bagi pahlawan
Biar darah terserak
Biar nyawa melayang
Perjuangan mesti diteruskan, hingga titisan darah yang terakhir
Biar mati berputih tulang, daripada hidup berputih mata.

Peristiwa ini, merupakan
Tonggak kebangkitan umat, yang
Layak dicatat dengan tinta emas oleh sejarah tanah air.

III
Di riba Anwar Ibrahim, ia membesar
Imbauannya, menyelusupi relung-relung sanubari umat
Panggilannya, disahuti oleh pelajar di kampus-kampus
Laungannya, bergema dari Bandar hingga ke tengah sawah
Barisannya semakin panjang dan menggerunkan
Semangatnya semakin kental
Keberadaannya, mulai dirasai menyengat kemapanan

Penguasa memang cenderung buta, pekak dan bisu
Jeritan-jeritan penanggungan bangsa yang dipekikan di mana-mana
Tidak sedikitpun menggugah nurani mereka
Akhirnya, ABIM menggerakan umat turun ke jalan-jalan
Badai ini telah menggegarkan tembok-tembok kekuasaan.

Kerisauan dengan kerusi-kerusi empuk akan patah
Membuat penguasa kehilangan kewarasannya, lalu
Anwar, Idris, Ramli dan rakan-rakan ditangkap
Kampus dijaga ketat
Rakyat dimomoki derhaka dan komunis.

Bagi pahlawan
Kematian adalah puncak nikmat sebuah jihad
Penjara, dinikmati sebagai kawah menggembleng kematangan
Penderitaan, ilustrasi memperindah lukisan keikhlasan.

Penahanan satria kebangkitan umat, ternyata
Tidak mampu mengendurkan daya juang
Api bantahan merebak di seluruh penjuru tanah air
Protes mengalir dari seantero dunia,
Penguasa telah terperangkap dalam kesalahan yang fatal
Akhirnya, tanpa syarat
Anwar, Idris, Ramli dan rakan-rakan terpaksa dibebaskan

Episod Dua

I
Menyedari realiti pola kekuasaan tanah air
ABIM menghantar hulubalang,
Mengukuhkan benteng Islam
Fadhil Nor, Nakhae’I dan rakan-rakan
Terjun bertarung di gelanggang demokrasi
Mencabar gergasi kemapanan
Mereka tewas oleh tipu helah yang penuh pengalaman.

Kegagalan bukan sempadan sebuah perjuangan, ia
Sebuah kemenangan yang tertangguh.

II
Seribu Sembilan ratus lapan puluh dua, mencatat
Krisis mengerikan dalam lembaran perjuangannya.

Anwar berijtihad
Tidak satu jalan ke Istambul, lalu ia
Mengalih gelanggang idealismanya.

Badai fitnah menerpa dari segala penjuru
ABIM telah murtad dari perjuangannya
ABIM mengkhianati pengharapan umat
ABIM pahlawan gadungan
ABIM sedang menunggu saat untuk ditalqinkan
ABIM, ABIM, ABIM lalu dipalitkan seribu dosa.

III
Dalam kemelut yang sangat meruncing inilah,
Tampil Sidiq Fadil, mewarisi bahtera oleng.

Ternyata mendepani musuh lebih mudah dari pada
Meyakinkan sahabat yang kehilangan kepercayaan
Meyakinkan penyokong yang tenggelam dalam kekecewaan
Meyakinkan simpatisan yang hanyut oleh kehampaan.

ABIM, bukan milik Anwar Ibrahim
ABIM, wadah perjuangan nurani umat
Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti.

Apabila mendepani cabaran
Tarbiyyah gembelengan ABIM
Membuktikan keunggulan kualitinya
Sidiq Fadil, Berjaya menyelamatkan bahtera ABIM, dari pada
Tenggelam diamuk gelombang kehancuran.

IV
Kemunculan Mahathir sebagai Perdana Menteri, yang
Membawa Anwar ke dalam arus perdana
Mulai meniupkan angin segar
Penerapan Nilai-Nilai Islam, Kepimpinan Melalui Teladan
Bersih Cekap dan Amanah
Bank Islam dan Universiti Islam Antarabangsa, seakan-akan
Sebahagian kecil jawaban ke atas hasrat umat.

Moto perjuangan lalu dianjak, dari era Menghentak Meja, ke pada
Era Penyertaan Kritis yang Membangun
Semboyan Mengakar dan Merimbun jadi buah bibir
ABIM, berjaya keluar dari kemelut keruntuhannya.

Sungguh aneh dan susah untuk difahami
Sidiq Fadil malah menyerahkan tongkat komando
Kepada Muhammad Nur Manuty, wal hal
Kepimpinannya telah meletakan ABIM di puncak
Karismanya sedang mempesona jamaah, rupanya
Begitulah kecemerlangan tarbiyyah kepimpinan ABIM.

V
Dekad Sembilan puluhan
ABIM mulai menunjukan belangnya di arena antara bangsa
Naluri pejuangnya mendengar rintihan dari beribu batu
Dengan sigap dan tangkas
ABIM terjun ke kancah-kancah pembantaian umat
Berhempas pulas melobi dari forum ke forum
Akhirnya, Mahathir menjadi “Naga Bosnia”.

VI
Di penghujung kurun ke dua puluh ini
Cabaran ternyata semakin menggila dan ganas.

Api materialisma sedang membakar jati diri bangsa, malah tergamak
Menjadikan kepimpinan komoditi perdagangan, maka
Lembaga kepimpinan, telah dianjak menjadi sebuah syarikat
Semuanya akan diukur dengan neraca ringgit dan sen
Bisa dibayangkan, bala apa yang akan menimpa umat.

Pelecehan terhadap agama menerkam dari kota ke desa, maka
Berceceranlah bayi-bayi ditepi longkang dan bendang
Kalau akal sendiri telah dibunuh oleh dadah dan ketagihan
Manusia jenis apa sebenarnya yang menghuni bumi ini.

Demi yang namanya kemajuan dan pertumbuhan ekonomi
Kalangan korporat berpakat dengan sesetengah penguasa
Untuk merompak tanah rakyat,
Untuk memperkosa alam semulajadi, dan bagi mereka
Mendedahkan aurat wanita untuk melariskan perniagaan, halal-halal saja.

Menyedari, peritnya melecut etos kerja bangsa
Jalan pintas menswastakan segala-galanya ditempuh
Kalau universiti boleh diswastakan, kenapa tidak sekolah rendah
Satu hari nanti, aka ada iklan, dicari ; seorang Perdana Menteri
Kecemerlangan institusi, rupanya hanya layak dimiliki oleh swasta.

Ibu bapa mencampakan anak-anaknya kepada orang gaji
Demi perburuan keseronokan yang dikejar bagai orang kesurupan
Bermati-matian demi anak-anak, hanya helah pemanis bibir, sedangkan
Ibubapanya mereka penjarakan di rumah orang tua, inilah bahana
Wabak ‘keakuan’ yang sangat mencabar akidah dan syariah.

VII
Era centang perenang inilah, yang
Mesti digelumangi Muhammad Nur Manuty
Pertarungan dahsyat sedang berlangsung.

Wahai pelopor, pemimpin dan pendukung kebangkitan, sebenarnya
Mala petaka hari ini jauh lebih dahsyat daripada era tujuh puluhan
Jangan biarkan Muhammad Nur Manuty menghadang badai bersendirian
Marilah kita sekali lagi memukul genderang jihad, kalau
Kita gagal menangani bencana yang bermaharajalela sekarang
Hampir boleh dipastikan, tidak lama lagi pertiwi akan kiamat.

Borneo Menggugat
Seremban, Julai 1996

sejarah ABIM 1971-1996

2 comments: